Riyadh digesa dedah dalang bunuh wartawan


ISTANBUL – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan meminta Arab Saudi mendedahkan siapa yang mengarahkan pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi di samping lokasi mayatnya dibuang.

Menurut Erdogan, Turki mempunyai lebih banyak maklumat kes tersebut berbanding butiran yang dikongsi oleh Ankara.

Beliau turut berkata, Riyadh perlu mendedahkan identiti ‘konco tempatan’ yang dikatakan oleh pegawai-pegawai Arab Saudi sebelum ini, bertanggungjawab membuang mayat Jamal selepas kolumnis akhbar Washington Post itu dibunuh di konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

“Siapa yang memberikan arahan?” kata Erdogan dalam satu ucapan kepada ahli-ahli parti pemerintah, Parti AK di Ankara.

“Siapa pula yang memberikan arahan supaya 15 orang datang ke Turki?” tambahnya, merujuk kepada 15 ejen Arab Saudi yang dikatakan oleh Turki berlepas ke Istanbul beberapa jam sebelum pembunuhan itu berlaku.

Menurutnya lagi, pendakwa raya awam Arab Saudi dijadualkan menemui pendakwa raya Istanbul di kota raya Istanbul esok.

Sementara itu di New York, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan Jamal menjadi mangsa ‘hukuman mati di luar undang-undang’ oleh kerajaan Arab Saudi.

“Malah, Arab Saudi sendiri mengaku bahawa jenayah itu telah dirancang dan membabitkan pegawai-pegawai kerajaan,” kata Pelapor Khas PBB mengenai Pembunuhan di Luar Undang-Undang, Rumusan atau Arbitrari, Agnes Callamard pada satu sidang akhbar di New York.

“Sama ada mereka bertindak mengikut arahan kerajaan, perkara itu harus dibincangkan dan disiasat,” jelasnya.

Bagaimanapun, tambah Callamard, mereka yang terlibat, pihak yang mengarahkannya dan dalang yang merancang pembunuhan tersebut mempunyai jawatan yang cukup tinggi untuk mewakili Arab Saudi.

– AFP/Reuters

27 maut dalam pertempuran puak bertelagah di Mali


BAMAKO: Seramai 27 mangsa disahkan maut dalam pertempuran membabitkan anggota suku Tuareg di timur laut Mali, awal minggu ini.

Sebelum ini, laporan awal mendedahkan 12 mangsa terbunuh dalam insiden keganasan pada Selasa lalu, yang berlaku di wilayah berhampiran sempadan Niger.

“Pertempuran itu berlaku di Inekar, kira-kira 45 kilometer di barat bandar Menaka, membabitkan anggota masyarakat Idourfane, iaitu suku Tuareg.

“Kejadian malang itu meragut nyawa 27 penduduk, manakala seorang lagi cedera,” kata Kementerian Keselamatan Mali dalam satu kenyataan.

Susulan insiden itu, pasukan tentera yang dibantu anggota polis sudah dikerah ke wilayah itu untuk mententeramkan keadaan, selain menyiasat punca kejadian. - AFP


"Pedang Fight" Puluhan tewas di Kuil Sikh India (bersama video)


Satu
pergaduhan melibatkan pedang tercetus di antara dua kumpulan Sikh di Golden Temple India di Punjab hari ini.

Menurut laporan tempatan, sehingga kini 12 orang cedera dalam pergaduhan tersebut yang berlaku di kuil paling suci dalam agama Sikh.

Rakaman video yang menunjukkan berpuluh-puluh lelaki Sikh berjuang dan mengejar satu sama lain dengan pedang di luar kuil itu.





Azan dan Bacaan Al-Quran Berkumandang di Vatican City


VATICAN CITY – Buat pertama kalinya dalam sejarah, solat dan bacaan Al-Quran akan diperdengarkan di Vatican City hari ini dalam usaha mengakhiri krisis antara Israel dan Palestin.

Times of Israel melaporkan, Pope Francis menjemput Presiden Israel; Shimon Peres dan Presiden Palestin; Mahmoud Abbas ke sini bagi kunjungan balas beliau yang melawat Palestin dan Israel minggu lalu.

“Pertemuan Mahmoud, Peres dan Francis akan disertai oleh  pemimpin agama Islam, Yahudi, Kristian dan Islam,” menurut laporan itu.

Pegawai Holy See memaklumkan, solat dan majlis makan malam akan berlangsung bagi melupakan persengketaan dalam politik di antara mereka.

“Pertemuan ini tidak mempunyai matlamat politik. Ia adalah untuk menyatakan hasrat semua pihak untuk melihat keamanan dicapai antara Israel dan Palestin,” katanya dipetik Al Arabiya.

.....
Gambar - Mahmoud dan Francis bertemu kali terakhir di Palestin pada minggu lalu.

.......
Vatican City - adalah negara terkecil di dunia. Berukuran hanya 0.2 batu persegi dan dikelilingi oleh Bandar Rom Di Italy. Vatican City telah diisytiharkan sebuah negara merdeka sejak tahun 1929. Vatican City pada umumnya dikenali sebagai Holy City oleh penganut agama kristian. Didiami oleh lebih kurang 800 orang dimana hampir 75 peratus daripada rakyat Vatican adalah ulama kristian. Vatican City merupakan pusat pentadbiran Gereja Roman Katolik sedunia.



Bangladesh lancar "green tax"


DHAKA 6 Jun - Bangladesh semalam, menguatkuasakan 'cukai hijau' untuk memaksa kilang-kilang yang menyumbang kepada pencemaran membayar levi tambahan dalam usaha untuk membersihkan sungai dan udara yang semakin tercemar di negara ini.

Cukai alam sekitar itu diumumkan sebagai sebahagian daripada AS$32 bilion (RM103.5 bilion) bajet untuk tahun 2014 dan 2015, yang turut memfokuskan terhadap projek infrastruktur gergasi yang baharu di bandar raya ini.

"Industri cairan dan bahan buangan daripada kumbahan bandar adalah penyebab sungai di negara ini teruk tercemar dan sekali gus menjejaskan akuatik dan persekitarannya," kata Menteri Kewangan, A.M.A Muhith ketika mengumumkan bajet tersebut di Parlimen semalam. - AFP


Assad kekal presiden Syria


Menangi 88.7 peratus undi, mudah tewaskan dua pencabar

Damsyik: Bashar al-Assad dipilih semula sebagai presiden Syria apabila memperoleh 88.7 peratus undi pada pilihan raya yang kemenangannya sudah dijangka sedari awal.

Dua lagi calon pada pilihan raya Selasa lalu — Hassan al-Nuri dan Maher al-Hajjar — masing-masing memenangi 4.3 peratus dan 3.2 peratus undi, kata speaker parlimen Mohammad al-Lahham.

“Tahniah kepada rakyat Syria yang membuat pilihan dan keputusan,” katanya. “Syria mempunyai pemimpin dan kapten, yang akan mengemudi kapal ke pantai keamanan dan keselamatan.”

Apakah pergolakan di Syria akan berpanjangan?


Kemenangan paling memalukan sejarah Mesir


KAHERAH - MESIR. Bekas ketua tentera, Abdel Fattah al-Sisi dilaporkan meraih majoriti besar dalam Pilihan Raya Presiden Mesir selepas kiraan di 312 pusat mengundi daripada 352 pusat, selesai dijalankan semalam.

Media tempatan melaporkan, sekurang-kurangnya 21 juta pengundi atau 96.2 peratus memilih bekas panglima tentera yang menyingkirkan Presiden Mohammed Mursi daripada Ikhwanul Muslimin, Julai lalu.

Pencabarnya, Hamdeen Sabbahi berhaluan kiri, menerima 3.8 peratus daripada undi yang dikira setakat ini.

Jurucakap penyokong Hamdeen berkata, kerajaan sementara banyak melakukan pembohongan apabila melanggar Perlembagaan dengan melanjutkan tempoh pengundian sehari selepas jumlah pengundi didapati kurang daripada 40 peratus.

“Kami mengecam kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya. Tempoh melanjutkan hari mengundi sengaja dibuat bagi mengelakkan Al-Sisi mendapat malu,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya menyasarkan sekurang-kurangnya 47 peratus pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab itu namun sehingga Selasa hanya 38 peratus berbuat demikian.

Selepas angka keluar mengundi didapati amat sedikit, pihak mereka dikatakan melanjutkan tempoh mengundi sehari lagi, laporan dipetik dari Al Arabiya.


Pertempuran kian sengit, puluhan pemisah Ukraine maut


DONETSK, Ukraine: Berpuluh mayat penentang bergelimpangan dalam sebuah van di luar sebuah rumah mayat dan kumpulan pemisah itu menyatakan lebih banyak mayat akan dibawa ke sana.

Bangkai sebuah trak yang rosak teruk dan dibasahi darah di lapangan terbang Donetsk menunjukkan keadaan ngeri selepas pertempuran.

Perlembagaan Thailand digantung selepas rampasan


BANGKOK 23 Mei - Pemimpin tentera Thailand menyatakan hari ini bahawa perlembagaan negara digantung, selepas rampasan kuasa dilakukan.

Mereka menyatakan, ia dilakukan bagi menamatkan persengketaan politik yang berlangsung beberapa bulan lalu.

"Dalam usaha untuk mentadbir negara ini dengan lancar, pemimpin tentera telah menggantung perlembagaan 2007, kecuali bab di bawah pentadbiran Diraja," kata satu kenyataan yang keluarkan dalam televisyen tempatan. - AFP

Tentera Thailand arah gantung program televisyen


Tentera Thailand hari ini mengarahkan kesemua stesen televisyen dan radio untuk menggantung program-program biasa mereka dan memaparkan siaran tentera sahaja ekoran rampasan kuasa yang berlangsung.

Tindakan itu dilakukan bagi memastikan berita yang tepat disiarkan kepada orang ramai, kata seorang jurucakap tentera di dalam satu pengumuman di televisyen.

Ketua Tentera Thailand, Prayut Chan-O-Cha melakukan satu rampasan kuasa tentera semalam, menggulingkan kerajaan yang dipilih dan meletakkan negara ke dalam keadaan yang tidak menentu selepas beberapa bulan persengketaan politik buntu. - Agensi




118 terkorban letupan bom di Nigeria


JOS 21 Mei - Sebanyak 118 orang terkorban, manakala 45 yang lain cedera dalam letupan bom berturut-turut di kawasan yang sesak di tengah bandar ini, di sini semalam yang dipercayai dilakukan kumpulan militan Boko Haram.

Bagaimanapun kumpulan Boko Haram yang menjalankan kempen keganasan di utara dan tengah Nigeria untuk menubuhkan sebuah negara Islam, menafikan bertanggungjawab atas kejadian itu.

Ia merupakan serangan tunggal paling besar sepanjang tempoh lima tahun pergolakan di Nigeria.

Bulan lalu, militan Boko Haram menjadi tumpuan dunia berikutan kes penculikan 200 pelajar perempuan di sebuah kampung Chibok, di timur laut negara ini.

Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Perancis telah berjanji untuk membantu menyelamatkan pelajar-pelajar itu.

Dalam serangan semalam, seorang wartawan Reuters menyaksikan 10 mayat rentung di kawasan bertentangan hospital di Terminus, pusat bandar Jos yang menempatkan beberapa buah kedai, pejabat dan pasar.

"Kami menemukan 118 mayat daripada runtuhan bangunan," kata penyelaras Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan, Mohammed Abdulsalam.

"Jumlah korban dijangka bertambah kerana masih terdapat runtuhan bangunan yang berlaku kesan daripada letupan tersebut," katanya.

Pesuruhjaya Polis negeri Palteau, Chris Olakpe, pada awalnya mengesahkan jumlah kematian hanya seramai 46 orang, manakala berpuluh-puluh yang lain cedera.

"Letupan pertama berlaku pada pukul 3 petang, manakala letupan kedua berlaku pada pukul 3.30 petang ketika orang ramai berkumpul untuk membantu mangsa letupan pertama," ujarnya.

Taktik letupan berturut-turut itu dilakukan bertujuan memaksimumkan jumlah korban, taktik yang turut digunakan oleh kumpulan militan di Iraq.

Bandar Jos relatifnya, bebas daripada serangan Boko Haram.

Kumpulan itu mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan bom di sebuah gereja di tanah tinggi dan dua lagi tempat lain ketika sambutan Krismas pada 2011. - REUTERS